Friday, March 26, 2010

' Agihan Zakat Di Negeri Johor '

Zakat adalah ibadah khusus yang berkait rapat dengan edaran ekonomi dan penghidupan masyarakat, juga merupakan nadi penggerak jentera pembangunan masyarakat. Zakat satu kewajipan untuk memastikan semua urusan ekonomi dan pemilikan harta tidak dibekukan dan tidak dikuasai oleh satu golongan tertentu sahaja. Rezeki pemberian Allah s.a.w hendaklah dinikmati bersama dan dikembang-baikan menurut peraturan syarak.

Pelaksanakan pungutan dan pembahagian zakat oleh pihak berkuasa adalah satu tanggungjawab yang akan membawa berkat yang berterusan kepada semua pihak, termasuk orang yang mengeluarkan zakat dan orang yang menerimanya.

Zakat hendaklah diagih-agihkan kepada golongan tertentu sepertimana firman Allah s.a.w dalam surah At-Taubah ayat 60 bermaksud :
” Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, amil yang menguruskannya, orang mualaf dijinakkan hatinya, untuk hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. Ketetapan hukum yang yang demikian ayat ialah sebagai satu ketetapan yang datangnya daripada Allah. Ingatlah Allah maha mengetahui lagi maha bijaksana.”

Berdasarkan ayat tersebut terdapat lapan Asnaf (golongan yang berhak menerima zakat). Mereka ialah fakir miskin, amil, mualaf(saudara baru), rikab (hamba yang hendak memerdekakan diri), gharim(orang yang berhutang),fi sabilillah (untuk dibelanjakan pada jalan Allah) dan ibnu sabil (orang musafir). Dinegeri Johor zakat diagihkan kepada semua asnaf tersebut.

Fakir dan miskin ialah golongan yang lebih utama mendapat habuan zakat. Menurut Imam Shafie. Fakir ialah orang yang tidak berharta dan tidak mempunyai pekerjaan, atau pun mereka mempunyai harta atau pendapatan daripada pekerjaan tetapi tidak sampai separuh daripada keperluan sara hidupnya. Miskin ialah orang yang mempunyai harta atau pendapatan daripada pekerjaan melebihi separuh keperluan sara hidup tetapi masih belum mencukupi kesemua keperluan hidup yang asas.

Dinegeri Johor agihan zakat kepada mereka merangkumi bantuan keperluan hidup, bantuan untuk menyambut hari raya , bantuan kepada warga tua, bantuan perubatan, bantuan bencana alam, bantuan berdikari, bantuan persekolahan dan pendidikan, juga bantuan perumahan.

Amil ialah orang yang dilantik untuk mengendalikan urusan zakat. Termasuk dalam bahagian ini ialah peruntukkan bagi gaji dan elaun kakitangan, pengurusan dan pentadbiran, percetakan, sagu hati amil zakat fitrah dan zakat harta, kursus dan latihan kakitangan dan amil, juga penyelenggaraan harta.

Mualaf (saudara baru) ialah orang yang baru menganut islam. Mereka diberikan harta zakat agar dapat mempertingkat keimanan disamping rasa dihargai oleh saudara se-islam.
Di Negeri Johor agihan kepada asnaf ini merangkumi sagu hati tenaga pengajar saudara baru,majlis pengislaman, kursus kefahaman islam, tambang dan elaun menghadiri kelas bimbingan, aktiviti pengukuhan islam dikalangan masyarakat orang asli dan bantuan kepada saudara baru merangkumi bantuan-bantuan sara hidup, perubatan, berdikari, pelajaran dan lain-lain.

Gharim (orang yang berhutang) dan sukar untuk membayarnya. Doktor Al-Qardawi membahagikan mereka kepada dua golongan iaitu: Pertama, orang yang berhutang untuk diri sendiri seperti perbelanjaan tempat tinggal, perkahwinan, rawatan perubatan dan seumpamanya. Kedua untuk umum seperti berhutang untuk meninggikan kedudukan umat islam dengan mendirikan hospital, sekolah, masjid dan lain-lain.

Bagi Asnaf Fi-Sabilillah, agihan zakat diberikan bagi pentadbiran dan pengurusan pelajaran dan pendidikan seperti Pusat Pengajian Tinggi Bahasa Arab Johor, Maahad Johor, Maahad Pontian dan Sekolah menengah agama Parit raja. Selain itu agihan juga diberikan bagi elaun imam, bil dan noja masjid dan surau, bantuan kursus diploma pendidikan, bantuan dana masjid dan surau, sagu hati penghafaz Al-Quran dan lain-lain

Ibnu Sabil ialah orang musafir dengan tujuan yang diharuskan seperti belajar, berdakwah, mencari rezeki, dan seumpamanya. Dinegeri Johor agihan diberikan bagi tambang perjalanan untuk pelajar dan bantuan kepada orang yang terkandas dalam perjalanan.

Syarak telah menetapkan harta tertentu yang dikenakan zakat dan golongan tertentu yang berhak menerima zakat. Ketetapan ini untuk memastikan harta zakat tidak disalahgunakan. Peredaran pusingan harta ini menjanjikan peralihan dan perkembangan dalam ekonomi umat islam. Marilah kita melaksanakan kewajipan kita semoga kita termasuk dalam golongan orang diisyaratkan Allah menerima firmannya dalam surah Al-Nisa ayat 124 :

”Sesiapa yang mengerjakan amal soleh daripada lelaki dan perempuan sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk ke syurga dan mereka tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun”

No comments:

Post a Comment