Friday, March 26, 2010

Petikkan Khutbah Jumaat Yg Bertajuk KETEGUHAN EKONOMI MENJANA KEKUATAN UMMAH

MUSLIMIM YANG DIKASIHANI SEKALIAN,
Seperti yang kita maklum dalam dunia ini harta adalah nadi kehidupan jasmani, sebagaimana Agama nadi kehidupan rohani. Harta adalah rebutan dan keperluan manusia. Apabila tidak diukur dengan ukuran syara’ ia akan menjadi racun.

Keadaan manusia berlumba-lumba mencari harta di dunia ini bermacam-macam, sepertimana firman Allah SWT:
Yang bermaksud : “Serta kamu pula kasihkan harta secara tamak haloba.”

(Surah Al-Fajr ayat : 20)

Manusia sanggup berlumba-lumba untuk menghasilkan harta dan menghimpunkan-nya. Baik buruknya usaha mereka bergantung kepada tujuan dan sumber harta tersebut. Manusia sentiasa berpenat lelah dan sedaya upaya mendapatkan harta dan pada masa yang sama usaha tersebut akan dikira oleh Allah SWT.

HADIRIN MUSLIMIN YANG DIHORMATI,
Harta bagi orang yang beriman merupakan nikmat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 274 :
Yang bermaksud : “ Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang dengan secara senyap-senyap atau terang-terangan maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

Jelas di dalam ayat di atas mereka yang menggunakan harta dengan jalan yang sebaiknya akan mendapat pahala di sisi Allah. Harta yang ada pada kita, boleh dimanfaatkan untuk pendidikan, pembangunan modal insan atau apa-apa sahaja yang dapat meningkatkan sosio ekonomi masyarakat dan menjana kekuatan ekonomi ummah.

Manakala untuk orang yang membelanjakannya di atas jalan yang menyalahi syara’ satu penyesalan bagi mereka kerana tidak meletakkannya pada tempat yang sebenar.

MUSLIMIM YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,
Islam menggalakkan umatnya supaya memakmurkan bumi ini, dengan itu kehidupan manusia menjadi mudah dan mudah pula untuk menunaikan hak Allah dan Rasul-Nya. Ini terbukti melalui satu Hadis yang berbunyi :
Yang bermaksud : “ Nabi Muhammad SAW bersabda: Apabila berlakunya kiamat dan di tangan kamu ada sepohon benih pokok kurma jika dia berkuasa, janganlah bangkit sehingga dia menanamkannya maka hendaklah dia menanamkannya”.

(Hadis riwayat Ahmad)

Hadis di atas menunjukkan Islam menggalakkan kepada kita supaya kita memakmurkan bumi ini. Salah satu caranya ialah dengan memperkukuhkan sektor ekonomi. Pentingnya sektor ini kerana negara yang mempunyai ekonomi yang kukuh lebih disegani dan digeruni berbanding dengan negara yang lemah ekonominya.

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Untuk memantapkan lagi ekonomi, kita harus mengikut lunas-lunas syara’. yang bererti ekonomi berasal daripada kalimah qasad yang bererti lurus atau adil. Maka jelaslah kepada kita bahwa Islam membawa prinsip adil dan saksama dalam ekonomi.

Sementara ekonomi kapitalis yang dibawa barat lebih mementingkan kepada individu bukan masyarakat, sebab itu wujudnya jurang yang besar antara kaya dan miskin, sedangkan ekonomi yang berasakan Islam lebih kepada membantu musyarakah.

Islam mengharamkan riba kerana jelas menjadikan orang yang kaya bertambah kaya dan orang miskin bertambah miskin. olah itu, usaha-usaha untuk mewujudkan sistem kewangan Islam adalah usaha yang sangat murni. Sistem perbankan Islam, pajak gadai Islam dan insuran takaful merupakan antara sistem kewangan Islam yang ada dalam negara kita. Ekonomi yang berlandaskan syariat ini semakin menjadi rebutan samada yang Islam atau yang bukan Islam. Bahkan ada di kalangan negara maju telah mula mengikut jejak langkah kita.

MUSLIMIM YANG DIHORMATI,
Keutuhan ekonomi sesebuah negara kerana mereka mempunyai dua perkara:

Yang Pertama : Kekuatan fizikal, mental dan material.
Yang Kedua : Amanah dan bertanggungjawab samada dengan Allah atau dengan manusia.

Ini terbukti melalui sifat mulia yang ada pada nabi Musa AS seperti Firman Allah dalam surah al-Qashas ayat 25:


Maksudnya : “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayahku, ambillah dia (Nabi Musa) menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.”

MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA,
Kita jangan lupa pada peristiwa yang berlaku kepada orang Islam di Mekah sebelum Hijrah. Kaum musyirikin telah membuat sekatan ekonomi terhadap orang-orang Islam, selama 3 tahun, sehingga mereka terpaksa memakan daun-daun kayu.
Sebab itu kita seharusnya bersungguh-sungguh untuk mempertingkatkan ekonomi selagimana tidak melanggar syara’, kerana keteguhan ekonomi akan menjana kekuatan ummah.

Oleh itu antara usaha-usaha yang perlu kita tingkatkan:

1. Sama-sama kita menyokong dan melibatkan diri dalam sistem ekonomi Islam, kerana ianya terbukti membawa keadilan di dalam masyarakat dan mengelakkan daripada penindasan.

2. Memperkemaskan institusi zakat, sebab ia dapat menjana kekuatan ekonomi khususnya kepada mereka yang tidak mampu.

3. Memantapkan sistem wakaf kerana melalui kaedah wakaf akan menyediakan kemudahan kepada umat Islam samada melalui pendidikan, sosial, ekonomi dan lain-lain.

4. Mempertingkatkan kefahaman dan pengetahuan kepada umat Islam supaya mereka dapat mencebur dalam bidang ekonomi, sepertimana yang telah dilakukan oleh umat Islam terdahulu.


Yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu di antara kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali dengan (jalan) perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu berbunuhan sesama sendiri, sesungguhnya Allah sentiasa mengasihi kamu.
(Surah an-Nisa' ayat : 29)

No comments:

Post a Comment