Thursday, March 18, 2010

Kisah dari Mahkamah Syariah: Kekasih rahsia punca cerai

Perkahwinan baru dibina berkecai gara-gara suami main kayu tiga

KADANGKALA tabiat isteri terlalu pembersih pun tidak disukai suami. Tidak suka sebab tabiat pengotor seperti tidak menyidai tuala selepas guna dan tidak meletakkan surat khabar selepas dibaca pada tempat sebetulnya tidak boleh diteruskan bila berumahtangga.

Pada suami yang bijak pandai dan faham perlunya perubahan sikap lantaran hidup bersama orang baru, satu pujian. Tetapi bagi lelaki berkahwin, enggan membuang tabiat pengotor, sebaliknya mengharapkan isteri menjadi ‘orang gaji’, lantaklah, itu tugas seorang isteri. Tanpa menyedari isteri turut sama keluar rumah menambah pendapatan keluarga walaupun itu bukan tugas utama isteri semata-mata mahu orang melihat suami mampu memiliki kereta dan rumah.


Sayangnya nasib Masnah sebaliknya. Umpama habis madu sepah dibuang. Peribahasa ini amat sesuai buat Husbi (bukan nama sebenar) apabila dengan sesuka hati menceraikan isterinya, hanya kerana isterinya menuduhnya mempunyai kekasih gelap.

Penat membuat bunga telur belum lagi reda, saki baki inai masih merah di hujung jari, tetapi nasib Masnah belum sempat menimbang cahaya mata sudah bergelar janda gara-gara suami pendek akal.

Antara betul atau sekadar memberi alasan, Husbi, 30, berkata: “Lafaz aku ceraikan awak dengan talak satu,” dilakukan dalam bilik kelamin rumah mereka di Cheras, bulan lalu kira-kira jam 12 tengah hari.

Dalam perbicaraan kes permohonan pengesahan lafaz cerai yang dikemukakan di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Masnah berkata: "Suami saya berlaku curang terhadap saya. Dia ada kekasih dan diletakkan ‘my love’ dalam direktori telefon bimbitnya.

“Sudah tentu saya marah. Satu hari, saya terjumpa ‘my love’ dalam direktori telefon suami dan saya menelefon wanita berkenaan. Mungkin kerana itu, suami saya marah,”. Pasangan itu bernikah pada 16 Februari lalu belum mempunyai cahaya mata. Lafaz dibuat di depannya, tanpa saksi.

Katanya, dia suci daripada haid ketika lafaz dibuat dan tiada hubungan kelamin sepanjang tempoh berkenaan. Husbi dalam keterangannya mengesahkan ada lafaz dibuat berbunyi ‘saya ceraikan awak dengan talak satu’.

“Masnah menelefon ‘my love’ dan memaki kekasih saya itu. Manalah saya tahan bila kekasih saya mengadu isteri saya memarahinya. Suka hati sayalah, saya lelaki dan berhak berkahwin sampai empat,” katanya di luar mahkamah ketika ditanya punca cerita.

“Amboi, sedap mulut saja awak lafazkan, sedangkan saya ini isteri awak, belum sampai setahun berkahwin awak sudah main kayu tiga. Kalau betul awak mahu berkahwin lagi, buktikan lah kemampuan awak. Ini solat pun tunggang langgang, ada hati ikut cara anbia,” lantang suara Masnah membalas kata-kata bekas suaminya itu.

Menceritakan kepada Ratu dengan lebih lanjut selepas itu, Masnah berkata, beliau melakukan tindakan bijak dengan memaki kekasih suami kerana cuba menangguk di air keruh.

“Pada peringkat awal memang ada perbalahan antara kami. Biasalah suami isteri. Macam dia tidak menyidai tuala lepas mandi, atau menyepahkan surat khabar bila habis membacanya. Takkan itu pun dia naik jaki pada saya? Sebagai suami isteri beliau seharusnya bijak mengadaptasi hidup berkeluarga dan melalui perubahan itu. Kalau ketika bujang, tak mandi seharian pun boleh, tetapi bila sudah berkeluarga seharusnya tabiat lama itu dibuang jauh-jauh.

“Bila sudah tak larat dengan teguran mulalah dia kata saya membebel. Muak dengan teguran saya, mulalah cuba-cuba cucuk jarum, pikat perempuan lain. Perempuan yang didakwa kekasih itu pun, teman tempat kerja. Perempuan itu pun satu, pantang dipancing, mudah melayan jantan tak berguna macam Husbi. Bila depan mata memang Husbi segak, mandi dan kemas tetapi bila di rumah?

“Saya mahu lihat sejauh mana kasih mereka berdua. Kalau betul-betul boleh hidup dalam keadaan rumah bersepah dan Husbi pula kalau masih dengan tabiat pengotornya, saya rasa perempuan itu pun tidak tahan. Lainlah kalau mereka berdua memang penggemar rumah bersepah,” katanya melepaskan geram.

Sebetulnya, malam kejadian, Husbi balik lewat dari tempat kerja lantaran kerja lebih masa. Ketika sampai ke rumah kira-kira jam 10 malam, Masnah langsung ‘menembak’ Husbi dengan soalan demi soalan mengenai kekasih gelap si bekas suaminya itu.

Husbi cuma memberitahu perempuan berkenaan teman sekerja, tetapi Masnah bagaikan dirasuk. Belum sempat mandi sejak balik kerja, Husbi turut naik hantu dengan perlakuan Masnah.

“Entahlah, malam itu saya sudah tidak tahan lagi dan terus saya lafaz,” kata Husbi ringkas.

Masnah terpaku. Husbi pula bagaikan tersedar ‘halilintar’ itu keluar dari mulutnya. Tetapi bak kata pepatah, telajak perahu boleh berundur, terlajak kata, buruk padahnya.

“Saya tidak terfikir pun untuk berkahwin dengan ‘my love’. Untuk rujuk kembali dengan Masnah pun saya tidak terfikir. Saya muak dengan sikapnya yang terlalu pembersih,” katanya tanpa menyedari kebersihan itu sebenarnya bukan tuntutan isteri sebaliknya tuntutan Islam. ‘My love’ hanyalah alasan biasa bila hati suami sudah tawar terhadap isteri.

No comments:

Post a Comment