Friday, March 19, 2010

Bila sudah bercerai

Isteri saya seorang peguam syarie, yang beramal melalui firma guaman syarie miliknya sendiri. Antara kes terbanyak yang dibawanya adalah kes perceraian, juga kes-kes selepas perceraian seperti tuntutan nafkah, anak dan harta sepencarian.

Sepanjang yang saya lihat biasanya perceraian berlaku kerana sebab-sebab semasa, bukan kerana ketidakpuashatian yang panjang dalam tempoh perkahwinan. Contohnya seperti tiba-tiba diketahui suami berkahwin dua, suami hilang sumber pendapatan utama, pertengkaran, kehadiran pihak ketiga sama ada di pihak isteri atau suami dan sebagainya.

Tetapi bila sudah masuk mahkamah panjang pula ceritanya. Kalau asalnya bekas isteri memohon cerai fasakh kerana suaminya berkahwin dua, bila dalam mahkamah perinciannya menjadi panjang lebar, diungkit segala macam perkara yang berlaku dalam perkahwinan. Kononnya si suami tidak pernah memberi nafkah zahir kepadanya, walhal dia datang ke mahkamah dengan keadaan fizikal yang cukup sihat walafiat, tiada pula tanda-tanda tidak cukup makan.

Maka dituntutlah macam-macam, tunggakan nafkah, nafkah edah, mutaah dan sebagainya. Si bekas suami pula, untuk mengelak dari dihukum bersalah dalam hal ini, mendakwa si bekas isteri tiadalah berhak untuk mendapat semua ini, kerana si bekas isteri telah nusyuz kepadanya sewaktu dalam perkahwinan. Bukan susah membawa cerita, diberitahulah pada satu malam dalam perkahwinan kerana tidak mahu lepas satu rancangan televisyen, si bekas suami melaung dari tengah rumah, “Yang, buat kopi panas secawan!” Si isteri yang baru mahu duduk selepas meletak kain yang dilipat dalam almari sudah naik angin, “Uhhhh! Tangan ada, sudu ada, gula ada, kopi ada, air ada, abang pergi buat sendirilah.”

Begitulah kisah selepas bercerai, semua keburukan mahu diungkit, padahal mereka bukan bercerai kerana itu, bukan kerana wang-ringgit, makan-pakai mahupun kopi secawan. Perceraian bukan hanya berlaku dalam perkahwinan, ia juga berlaku dalam perhubungan politik. Bila perhubungan politik tercerai, maka sama seperti perceraian perkahwinan, emosi marah membawa kepada terungkitnya cerita buruk dalam kelambu, dalam kain masing-masing.

copy paste dari harakahdaily ditulis oleh Zukri Aksah

No comments:

Post a Comment